Sunday, 4 August 2013

Bayi Tidak Cukup Susu? Tanda-tanda Yang Perlu Anda Ketahui

Selalu saya mendengar rungutan ibu-ibu baru yang mengatakan bahawa bayi mereka tidak mendapat susu (badan) yang cukup dan membuat keputusan akhir untuk 'top-up' susu formula pada bayi yang baru lahir itu.
Ketahui tanda-tanda bayi tidak cukup susu
Adakah bayi anda mendapat susu badan yang cukup?


Bukanlah saya menidakkan keperluan 'makan minum' bayi namun sebelum anda membuat keputusan untuk 'top-up' susu formula kepada bayi, mari baca beberapa perkara yang perlu anda ketahui tentang maksud bayi tidak cukup susu.

Tanda- tanda Bayi Anda Memang Tidak Cukup Susu 


1. Pertambahan berat badan yang kurang memuaskan
Bagi bayi yang kekurangan susu biasanya pertambahan berat badannya kurang daripada 500 gram sebulan. Manakala bagi bayi yang baru lahir pula, jika berat badannya tidak bertambah selepas dua minggu kelahiran, maka itu menandakan bayi anda tidak mendapat susu yang mencukupi.

2. Bayi kerap menangis
Reaksi sebegini biasanya menunjukkan bayi anda lapar. Walaupun anda kerap menyusukannya, namun dia terus menangis. Salah satu sebabnya mungkin kerana dia tidak memperolehi susu akhir (hind-milk) yang biasanya mengandungi segala khasiat penting. Susu akhir juga berperanan membuatkan bayi merasa kenyang. Apabila bayi anda puas menyusu, dia akan lebih tenteram.

3. Terlalu kerap menyusu
Masalah ini juga menunjukkan bayi tidak memperolehi susu akhir yang diperlukannya yang disebabkan oleh cara penyusuan dan pelekapan yang kurang berkesan. Oleh kerana itulah, bayi akan kerap menyusu kerana dia tidak merasa kenyang sewaktu menyusu sebelumnya.

4. Pembuangan air kecil yang pekat dan sedikit
Faktor ini juga perlu dititik beratkan. Tanda-tanda yang menunjukkan bayi anda tidak mendapat susu yang cukup ialah dia membuang air kecil kurang daripada enam kali sehari. Selain daripada itu, air kencingnya berwarna kuning dan berbau kuat.

5. Najis bayi keras, kering dan kehijauan
Ini adalah salah satu lagi tanda yang perlu diambil perhatian. Biasanya bayi yang tidak memperolehi susu yang cukup akan mengeluarkan najis yang keras dan kering. Terdapat juga najis segelintir bayi yang berwarna kehijauan.


Faktor Penyebab Bayi Tidak Cukup Susu


Pasti anda ingin tahu apakah faktor yang menyebabkan anak anda kelihatan seperti tidak kenyang walaupun kerap menyusu. Apabila anda mengetahui faktor-faktornya maka mudahlah bagi anda untuk membetulkan keadaan dan terus berjaya menyusu sekurang-kurangnya sehingga enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun. Faktor-faktor tersebut ialah:-

1. Lewat memulakan penyusuan
Ada segelintir ibu yang mengalami masalah selepas kelahiran. Ini mungkin kerana ibu tersebut sakit ataupun bayi sendiri mengalami masalah. Contohnya, bayi pramatang. Jadi,proses awal penyusuan tidak dapat dimulakan dan berkemungkinan menjejaskan penyusuan seterusnya.

2. Tempoh penyusuan yang pendek
Tempoh penyusuan yang pendek menyebabkan bayi tidak merasa kenyang. Ini disebabkan bayi hanya mendapat susu awal yang cair dan tidak dapat mengenyangkannya.Susu awal hanya mampu bertindak menghilangkan dahaga bayi anda. Oleh yang demikian, anda perlu membiarkannya bayi menyusu sehingga dia berhenti sendiri dan nampak selesa. Selalunya susu akhir nampak putih dan pekat selepas setiap penyusuan.

3. Cara melekap yang tidak betul
Apabila ibu tidak membantu bayi melekap dengan betul, maka bayi tidak dapat menghisap payu dara anda dengan baik. Oleh kerana itulah dia tidak puas menyusu. Sokongan anda amat diperlukan ketika bayi menyusu. Dengan membetulkan posisi dan pelekapan pada payu dara, pasti bayi anda dapat menyusu dengan lebih baik.

4. Botol dan puting kosong
Anda tidak digalakkan untuk memberi susu menggunakan botol dan puting kosongkepada bayi jika mahu memastikan penyusuan secara eksklusif berjaya. Ini kerana bayi mudah keliru antara puting ibu dan puting tiruan. Apabila dia sudah terbiasa dengan puting tiruan, maka bayi akan menolak payu dara ibu. Ini akan menyebabkan bayi tidak boleh meneruskan penyusuan susu ibu secukupnya.

5. Tidak menyusu di waktu malam
Hormon prolaktin yang diperlukan untuk menghasilkan susu dirembes oleh kalenjar pituitary dengan banyak di waktu malam. Jika ibu tidak menyusukan bayinya di waktu malam, ini akan menyebabkan payu dara bengkak dan menganggu pengaliran susu yang bakal diberikan kepada bayi.

6. Makanan tambahan
Makanan tambahan boleh dimulakan apabila bayi berumur enam bulan. Pastikan bayi disusukan sebelum diberi makanan tambahan bagi mengelakkan dirinya daripada terlalu kenyang. Sekiranya bayi terlalu kenyang, bayi akan kurang menyusu.

7. Kurang yakin
Ibu kurang berkeyakinan terhadap kemampuan dan kebolehannya untuk menyusu.Keadaan menjadi lebih rumit sekiranya dia kurang berpengetahuan dan tidak mendapat sokongan daripada orang di sekitarnya terutamanya ahli keluarga dan rakan sekerja. Dapatkan khidmat nasihat daripada kumpulan sokongan penyusuan susu ibu yang banyak terdapat di hospital kerajaan dan swasta.


Kredit info Nur Salwa Ishak

Sekiranya anda adalah antara ibu yang menghadapi masalah di atas, sila rujuk kepada mana-mana Kaunselor Laktasi atau berjumpa dengan mana-mana doktor yang pro-breastfeed untuk mendapat maklumat lengkap dan tepat.

No comments:

Post a Comment