Wednesday 28 January 2015

Memahami kepentingan untuk mengepam

Alhamdulillah. Syukur. Semakin ramai ibu-ibu sudah menyedari kepentingan penyusuan. Ya, ramai yang sudah mengetahui khasiat dan kebaikannya penyusan ibu terhadap ibu, terhadap si anak dan juga terhadap keluarga. Namun disebalik ramai ibu yang sudah menyusukan, berapa ramai pula ibu yang benar-benar mahu menyusukan kerana memahami kepentingan ini? Berapa ramai pula yang menyusukan kerana terikut-ikut dek kerana ramai rakan di tempat kerja mereka menyusukan anak mereka dan mereka takut dikatakan ibu yang jahat?

Disebabkan itu, ramai juga ibu yang tidak memahami sepenuhnya mengapa perlu untuk memerah susu di tempat kerja atau pun apabila mereka berada jauh dari si kecil. Walaupun saya sering menekankan untuk menyusukan secara terus untuk mengekalkan ikatan (bonding) di antara si ibu dan si anak, namun apabila si ibu berjauhan dari si kecil, proses penghasilan dan pengeluaran susu harus tetap berlaku bagi memastikan ia tidak terhenti dan seterusnya menyebabkan gangguan terhadap penghasilan dan pengeluaran susu.


Kenapa perlu memerah?
Bayangkan anda berada 24jam dengan si kecil dan si kecil menyusu setiap 2 jam. Jadi berapa kali penyusuan berlaku dalam sehari? Ya,ia berlaku sebanyak 12 kali. Dan proses ini telah berlaku selama 1 bulan. Dan otak manusia yang pintar itu telah merakam keadaan ini dan menjalankan proses secara automatik. Setiap 2 jam susu telah tersedia untuk diminum oleh si kecil.


Dan kemudian, si ibu kembali bekerja. Dari jam 7 hingga 6 petang, waktu si ibu bergerak keluar dan kembali semula ke rumah. Berapa jam sudah berlalu? Hampir 12 jam. Dan si kecil sudah kehilangan 6 kali waktu menyusunya. Proses yang berlaku sebelum ini terganggu. Dan si ibu pula hanya memerah sebanyak 3 kali sepanjang tempoh itu. Dan apa yang berlaku selepas itu?! Si ibu mula mengalami enggorgement. Dan apabila keadaan ini berulang ulang sepanjang minggu, FIL. Berlaku dan menyebabkan penghasilan susu tidak lagi berlaku setiap 2 jam. Ia akan mengikut tempoh baru yang dibuat oleh si ibu tadi.

Langsung, apa yang akan berlaku lagi? Ya, si ibu mendapati penghasilan susunya terganggu dan ia semakin berkurangan. Ia sebenarnya kurang disebabkan otak mendapat signal bahawa si kecil tidak lagi menyusu setiap 2 jam, tetapi si kecil hanya menyusu setiap 4 jam. Jadi perubahan ini yang menyebabkan penghasilan tidak sekerapa sebelum ini.

Ya, tidak semua ibu mampu untuk memerah setiap 2 jam. Namun, sekiranya si ibu berkesempatan untuk melakukan sekerapnya, lakukanlah. Proses memerah itu ibarat waktu si kecil menyusu, dan bayangkan juga si kecil ada bersama anda ketika sesi memerah itu supaya si ibu lebih tenang dan ia dapat membantu melancarkan pengeluaran susu.

Sampai di sini dahulu! Salam sayang buat semua ibu!

No comments:

Post a Comment