Sunday, 7 September 2014

Kisah 2 Peniaga Roti John

Jom segarkan minda kita dengan membaca kisah-kisah orang yang berjaya.Tiada jalan 'shortcut' untuk mencapai kejayaan.Tapi tidak mustahil kejayaan akan datang bergolek kepada mereka yang tidak pernah berputus-asa..
Alhamdulillah,kita akan terinspirasi bila mana kita rasa diri kita kerdil.So,jangan sombong ,jangan angkuh dengan kejayaan yang dimiliki sekarang..Ikhlas diri ini sangat gembira melihat kawan-kawan ,sedara-mara & orang-orang yang sudahpun berjaya dan yang pasti setiap kejayaan yang mereka kecapi itu bukanlah seperti 'makan kacang'..Allah telah menjanjikan rezeki bagi mereka yang tidak berputus asa & sentiasa 'meminta' dariNya dengan merendah diri..

Intipati dari kisah di bawah ni berkaitan dengan pengurusan kewangan yang betul.Walau kita berniaga dan mendapat berbillion-billion keuntungan tapi financial management kita entah ke mana,memang tak akan dapat simpan harga.Itu yang,sebelum membuat sesuatu keputusan perlu rujuk atau buat research berkaitan field yang kita ceburi.Memang orang yang berjaya mempunyai 'list' apa yang perlu dilakukan & apa yang perlu dihindarkan.Walaupun hanya menjual di pasar malam,tapi incomenya seperti usahawan-usahawan moden.. 
Jom kita bacakisah yang boleh dijadikan tauladan dan ikutan untuk berjaya. Kisah ini dipetik dari nota usahawan ye untuk tatapan kita semua..Million thanks to nota usahawan
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Kisah 2 Peniaga Roti John: A Tale of Two John Bread
Tajuk sudah menarik persis A Tale of Two Sisters. Kisahnya…
En. Azman seorang exec di sebuah cawangam perbankan Islam di Miri menceritakan kepada kami bahawa:
Beliau kenal dengan dua orang peniaga pasar malam yang menjual Roti John. Atas nasihat dan konsultasi exec bank ini maka mereka setuju agar bisnes mereka diaudit (secara tidak bertauliah) untuk merencanakan pengembangan dan masa depan kedua entiti bisnes ini.
Setelah diaudit maka tergamam dan terkejutlah exec bank ini dan yang lebih tergumam dan terkasima ialah peniaga Roti John ini sendiri. Masakan tidak hanya dengan modus operandi pasar malam 3 malam dalam satu minggu jualan kedua peniaga ini dalam setahun masing-masing ialah sebanyak RM300,000!
Kami pun mengeluarkan kalkulator melalui henfon kami untuk mencongak berapakah jualan mereka setiap bulan dan setiap hari. Purata jualan setiap bulan ialah RM25,000.
Secara kasar margin untung peniaga Roti John ialah 40%. Dan margin sebegini adalah suatu yang lazim dan normal dalam industri makanan dan food & beverage. Maknanya untung kasar peniaga Roti John ini ialah RM10,000 sebulan.
Salah seorang dari peniaga ini mengupah seorang pembantu untuk menjaga gerainya. Manakala seorang lagi dibantu oleh isterinya sahaja. Maknanya RM10,000 itu solid untuk mereka sahaja.
Namun yang membezakan peniaga pertama dan peniaga kedua ialah pengurusan kewangan dan hemat dalam perbelanjaan. Peniaga pertama tadi mengupah pekerja dan dia sendiri hanya duduk ‘melenggak’ berborak goyang kaki. Manakala peniaga kedua kerja sendiri, merasa jerih-perih meniaga. Dan ternyata peniaga kedua lebih hemat dalam perbelanjaan.
Peniaga pertama tidak sedar ke mana akhinya hala dan arus wang hasil perniagaannya sehinggalah dia diberitahu oleh exec ini tadi. Manakala peniaga kedua sudah berjaya membeli rumah bernilai setengah juta di sini (Miri) dan memiliki kereta yang sudahpun langsai habis dibayar.
Cerita-cerita bisnes kecil yang mengaut hasil yang besar sebegini bukanlah kali pertama kami dengar. Beberapa tahun sebelum ini sahabat kami Ust Abu Widad Hidayat bercerita bahawa abang beliau Ust Abu Suffyan menceritakan bahawa di Dungun ada peniaga nasi ayam pasar malam yang peroleh jualan nasi ayam sebanyak RM20,000 setiap bulan.
Namun mereka tidak sedar bahawa mereka peroleh wang yang sangat banyak sehingga mereka disedarkan akan hakikat itu.
Pasar malam adalah lubuk emas peniaga-peniaga Melayu. Dan percayalah demi sebuah tapak pasar malam, ada yang sanggup bergolok, berkeris dan berlembing untuk mendapatkannya.
Di Miri sahaja sudah ada 1000 permohonan ‘queu’ untuk masuk pasar malam. Namun dek kerana tapak yang terhad, 1000 permohonan ini masing ‘pending’.
Dan kerana ‘golok’, ‘lembing’, ‘sumpit’, dll inilah akhirnya kami mengalah dan meninggalkan tapak pasar malam di Taman Bukit Margosa, Taman Senawang Jaya, Seremban 2, dan beberapa tapak pasar malam yang lainnya.
Namun rahsia Biskut Meri dari Lenggeng masih tersimpan rapi dalam kocek dan poket kami. Kami tidak sabar menunggu hari Khamis untuk membeli Roti John!

Oleh Mohd Riduan bin Khairi
PPY Borneo ‘Membangun Citra Insan’
6 Januari 2014, Miri Sarawak.


-------------------------------------------------------------------------------------------------------
8 Langkah Menguruskan Kewangan Dengan Bijak dan Sistematik
Kemahiran menguruskan wang, sama seperti kemahiran menjadi ibu bapa tidak diajar di sekolah-sekolah mahupun universiti. Sedangkan kita mula menguruskan wang sendiri sepenuhnya sejak memperoleh gaji / pendapatan sendiri sehinggalah kita meninggal dunia kelak.
Berikut adalah 8 langkah untuk tuan puan yang serius menguruskan wang dengan bijak dan sistematik.
1. Mempunyai Matlamat Kewangan
Kita semua mesti tahu apa yang kita mahu. Apakah yang kita mahukan apabila menjelang usia persaraan yang barangkali lagi 10, 20, 30 tahun akan datang? Pengurusan kewangan yang baik membabitkan matlamat kewangan jangka masa panjang. Ibaratnya macam kita mahu menanam pokok durian.
Apabila kita mempunyai satu pandangan jauh, kita telah menetapkan langkah yang betul untuk berjaya. Kerana itulah Islam menyuruh kita berfikir mengenai mati, kerana keyakinan kita mengenai syurga neraka, kehidupan alam akhirat menyebabkan kita bersungguh-sungguh bekerja dengan penuh amanah di dunia.
2. Mempunyai Sumber Pendapatan yang Mencukupi
Dalam surah Yusuf, ayat 47 menyebut kepentingan menanam selama 7 tahun dengan bersungguh-sungguh.
Ya, dengan bersungguh-sungguh.
Dalam erti kata lain, sama ada kita makan gaji atau bekerja sendiri kita perlu benar-benar berjaya (termasuklah memperoleh gaji tinggi) dalam bidang kita. 7 tahun zaman senang itu tadi adalah untuk menghadapi 7 tahun zaman susah.
Jika kita tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi maka kita tidak dapat menyimpan seterusnya mengumpul aset-aset kekayaan. Apakah mempunyai hanya satu sumber pendapatan telah mencukupi? Bagaimana kita dapat menambah pendapatan sampingan?
3. Simpan Sebelum Belanja
Ayat 47, surah Yusuf juga menyebut dengan jelas hasil-hasil tanaman itu tadi disimpan dalam bentuk tangkai, selepas menyimpan barulah selebihnya kita belanjakan untuk hidup. Kita perlu menangguhkan kepuasan terlebih dahulu.
Sekiranya kita membelanjakan semua pendapatan kita terlebih dahulu dan jika ada lebih baru kita mahu simpan, maka itulah langkah paling berkesan untuk mencipta masalah kewangan yang kronik.
Gaji – simpanan = belanja.
Mudah.
4. Berbelanja dengan Bijak
Kita perlu mengenal pasti keutamaan perbelanjaan kita. Setelah kita menyelesaikan keperluan-keperluan asas hidup iaitu untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan maka kita perlu pastikan kita mengumpul aset-aset terlebih dahulu. Dalam hal ini, penyata kewangan (financial statement) memainkan peranan penting untuk kita menguruskan kewangan. Angka-angka dalam penyata kewangan dapat memberi petunjuk kepada kita sama ada pembelian ‘harta’ kita adalah bersifat aset atau pun liabiliti.
Penyata kewangan juga dapat menentukan sama ada kita patut menumpukan membaiki aliran tunai atau dapat fokus menambah aset-aset untuk tujuan capital gain.
5. Menguruskan Risiko Kewangan
Risiko adalah sesuatu yang tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Apa yang kita dapat buat adalah menguruskan risiko tersebut dengan efektif. Bagi kebanyakan orang, cara paling mudah menguruskan risiko kewangan adalah dengan membeli produk-produk takaful.
Dan untuk menjadi seorang yang betul-betul berjaya dalam pengurusan kewangannya, ilmu adalah sangat penting kerana produk takaful tidak mampu menguruskan semua risiko kewangan kita. Adakah ada produk takaful yang dapat melindungi kita dari inflasi, kejatuhan harga saham atau kemerosotan bisnes?
6. Membayar Zakat (… dan cukai!)
Zakat dan sedekah merupakan proses 3+1. Dengan banyak memberi, kita dapat menyucikan harta, melindungi harta dan mengembangkan harta sekaligus. Harta-harta yang kita beri ini sama sekali tidak berkurangan, malah semakin bertambah dengan cara yang Allah sahaja yang tahu.
Zakat hanya untuk harta halal, manakala harta dari sumber haram kita perlu bersihkan 100%.
Manakala cukai pula, suka atau tidak kita pasti membayarnya! Duit itulah yang membolehkan kerajaan memberikan kita jalan, sekolah, longkang, hospital dan keperluan lainnya … untuk rakyat.
7. Membuat Pelaburan yang Bijak
Simpanan yang kita telah buat itu adalah untuk dijadikan modal pelaburan. Tujuan pelaburan kita adalah untuk kegunaan menunaikan haji, tabung persaraan, tabung pendidikan anak-anak, tabung percutian dan apa-apa sahaja matlamat kewangan kita.
Kita perlu tahu menyusun strategi pelaburan dengan bijak. Sama seperti permainan bola sepak, ada strategi menyerang seperti 4-3-3, ada strategi bertahan sepeti 5-4-1 mahupun false-nine (4-6-0) berdasarkan kelas aset tertentu.
8. Membahagikan Harta
Setelah kita berjaya mengumpul harta, jangan lupa menyediakan exit strategy ini kerana kita semua pasti mati. Selain faraid, kita ada instrumen-instrumen tertentu seperti wasiat, hibah, wakaf yang dapat menentukan ke mana harta kita selepas mati.
Pembahagian harta ini adalah sangat penting. Harta untuk anak angkat, anak luar nikah, anak susuan, tidak mempunyai anak lelaki misalnya antara isu pembahagian yang mesti diselesaikan sebelum mati. Jangan sampai harta kita beku sebab kelalaian kita dalam urusan ini.

No comments:

Post a Comment